Rabu, 20 April 2011

TIPS AWET MUDA CARA LAMA

Tok Pah awet muda. Itulah gelaran orang kampung untuk nenek saudara saya. Manakan tidak, wanita sebayanya sudah dimamah usia sedangkan Tok Pah nampak 20 tahun lebih muda dari usia. Ramai juga yang geleng kepala. Ada yang kata Tok Pah tipu umurnya, mana boleh tipu, dalam IC kan ada tarikh lahir. Paling ramai yang mengatakan Tok Pah 'membela'.Eh! minta simpang. Takkanlah Tok Pah nak buat macam tu. Atas sebab-sebab itulah saya beranikan diri tanya sendiri pada Tok Pah. Jawapan Tok Pah senang dan mudah saja. Tak ada sangkut paut dengan belaan. Tok Pah ni tak kedekut ilmu, diceritakan macam-macam petua kepada saya. Antaranya, cara-cara amalan untuk awet muda. Tak perlu keluar belanja pun, cuma amalkan saja.

Amalannya ialah :

1.  Bangun pagi sebelum azan subuh berkumandang. Lakukan sedikit senaman ringan. Kata orang betulkan urat.

2.  Selepas senaman ringan, minum air suam satu gelas. Tuangkan sedikit air ke telapak tangan kanan, sapukan ke muka dari atas ke bawah sambil berselawat sebanyak 3 kali.

3.  Mandi,  mulai dibahagian kaki dahulu. Siram kaki sebanyak 3 kali, barulah siram kebahagian lain.
Siraman dibahagian dada hendaklah dimulai di sebelah kanan.

4.   Selesai mandi, kain basahan hendaklah digosok-gosok di bahagian bawah ketiak dan dibelakang badan.

5.   Apabila makan, jangan di sulami dengan air. Selesai makan, barulah minum air. Air pula, biasakan minum air suam, bukannya air ais.

6.  Berhenti makan sebelum kenyang.

7.  Sebelum tidur, minum segelas air suam. Jangan makan 1 atau 2 jam sebelum tidur. Makan malam hendaklah diawalkan sebelum masuk waktu Isyak.

8. Jangan tidur lewat malam dan jangan dedahkan badan pada angin malam. Tidur dengan bantal yang ditinggikan sedikit.

Begitulah antara petua awet muda yang diperturunkan Tok Pah. Kena selalu amalkan barulah nampak hasilnya. Manfaatnya adalah untuk jangkamasa panjang. Tengok kepada Tok Pah memanglah nampak hasilnya. Taklah susah sangat nak ikut. Cubalah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Lorem

  © Blogger template Coozie by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP